Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati para pelajar untuk sentiasa mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kegagalan mereka mematuhi arahan itu akan memberi impak negatif kepada golongan berisiko.

"KKM menyeru semua pelajar untuk mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang telah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, namun didapati tidak patuh kepada notis arahan di bawah Seksyen 14, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 1988 (Akta 342).

"Mereka ini juga kemudiannya didapati positif COVID-19. Ini boleh memberi risiko jangkitan COVID-19 kepada orang yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Mengikut rekod, sehingga 18 Mei 2020, daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia iaitu 6,941 kes, sebanyak 961 orang adalah warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas (iaitu 13.8 peratus).

Manakala, kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah pula merangkumi 318 orang (iaitu 4.6 peratus).

"Jika dilihat dari segi faktor komorbiditi, setakat 17 Mei 2020 didapati 10.8 peratus (iaitu 744 kes) daripada keseluruhan kes positif COVID-19 menghidap penyakit kronik misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

"Kumpulan-kumpulan berisiko tinggi ini perlu dilindungi. Lindungi sempadan negara, negeri, daerah, rumah dan juga keluarga kita," katanya.