LEBIH 10 tahun setelah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperlihatkan betapa beliau masih ada tempat yang cukup penting dalam peta politik negara ini. Apakah beliau masih relevan dengan zaman ini, itu soal yang lain. Tetapi setidak-tidaknya, Dr. Mahathir menunjukkan betapa beliau tahu apa yang perlu dikatakan serta bagaimana dan bila pula hal itu harus dikatakan.

Bekas Perdana Menteri itu pada Jumaat mengingatkan rakyat supaya akur dan menerima hakikat bahawa orang Cina adalah sebahagian daripada negara ini; bahawa mereka lahir di sini; bahawa mereka adalah warga negara ini; bahawa mereka juga sama seperti warga yang lain -- ada hak yang dilindungi oleh undang-undang serta ada pula tanggungjawab yang dituntut oleh undang-undang.

Dr. Mahathir menyebut secara khusus orang Cina kerana beliau mengulas kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdulah Zaik Abdul Rahman yang mengatakan bahawa orang Cina adalah "penceroboh" dan kedatangan nenek moyang mereka yang dibawa oleh penjajah British ke Tanah Melayu ini adalah satu pencerobohan.

Kepada Abdullah Zaik dan konco-konconya, Dr. Mahathir meminta mereka supaya tutup mulut dan simpan sahaja dalam hati apa yang mereka fikirkan tentang orang lain -- tidak usah dicakapkan kepada umum kerana buah fikiran mereka itu "tidak membantu mententeramkan keadaan".

Tidak usah sampai Dr. Mahathir cakap begitu -- budak Tahun Tiga pun tahu bahawa negara ini adalah milik semua kaum. Orang Cina -- dan orang kaum apa sekali pun -- berkongsi negara ini dan segala hasil buminya. Kita berpijak pada tanah yang sama, bernaung di bawah langit yang sama. Negara ini adalah milik kita bersama.

Kalau negara ini bukan negara mereka juga, cuba beritahu yang mana satu sebenarnya negara mereka?

Dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti ini, apakah kebaikan yang boleh kita dapat daripada kenyataan seperti yang diucapkan oleh Abdullah Zaik itu? Kata Dr. Mahathir, ia tidak mendatang faedah apa-apa pun.

Kenyataan ISMA itu bagi Dr. Mahathir hanya mengapi-apikan keadaan dan boleh menyebabkan keadaan jadi huru-hara. Kenyataan seperti itu akan menyebabkan pihak yang satu lagi akan membuat kenyataan balas, kemudian yang satu lagi balas semula dan akhirnya sampai ke mana, hendak jadi apa.

Bahawa penilaian itu datang daripada Dr. Mahathir adalah sesuatu yang ISMA serta mana-mana NGO yang sekutu dan sekufu dengannya termasuk penaja, pendukung dan penyokong mereka perlu fikirkan. Ketika Dr. Mahathir menempelak ISMA dalam senyum simpul dan ketawa kecil, bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar -- ketua polis yang paling lama berkhidmat -- duduk di sebelahnya. Itu satu kebetulan tetapi ia kebetulan yang cukup signifikan.

Ada baiknya sekarang ini ISMA ikut apa yang Dr. Mahathir kata. Tidak usah ISMA sahaja, kita semua pun sama. Baca Al-Quran yang disebut oleh Dr. Mahathir itu maksudnya baca dengan makna dan faham juga tafsirnya -- bukan baca saja-saja. Elok juga baca sejarah dan faham konteks sejarah negara. Bacalah juga permasyhuran kemerdekaan yang diucapkan oleh Tunku Abdul Rahman semasa Tanah Melayu merdeka. Adalah malang yang tersangat malang kalau selepas hampir 60 tahun merdeka dan lebih 50 tahun Malaysia terbentuk, kita masih tidak faham asas serta cita-cita negara ini.

Tetapi perlukah tunggu sampai Dr. Mahathir cakap? Apakah semua perkara Dr. Mahathir kena cakap? Itu sebabnya selepas 10 tahun bersara pun, beliau masih ada tempat yang mustahak dalam banyak ruang.