Mufti Perlis Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin membidas sikap segelintir ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya mula terpesong daripada perjuangan yang dilaungkan oleh mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam posting terbaharunya di laman sosial Facebook beliau menempelak segelintir pemimpin PH yang mula ponteng pada Persidangan Dewan Rakyat.

Ini adalah kali pertama beliau dilihat mula mengkritik secara terbuka sejak Kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan.

Jika sebelum ini beliau lantang menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap kerajaan terdahulu namun perkara sama turut dilakukan ke atas pemimpin PH yang dilihat seakan lupa diri.

BACA: Sidang Dewan Rakyat tertangguh, menteri, timbalan 'hilang'

“Apabila menang, perasaan dah senang. Apabila dah rasa senang, dewan pun tak datang. Maka, segala pekikan sebelum ini, sudah tidak kedengaran. Segala sembang semalam, hanya tinggal kenangan. Segala perangai lawan dulu yang dihentam, hari ini dijadikan ikutan," katanya.

Pada Selasa, Persidangan Dewan Rakyat sesi petang tertangguh selama enam minit apabila tidak cukup Ahli Parlimen yang hadir.

Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) bangkit berdiri dan mempersoalkan kepada Yang Dipertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan mesyuarat itu.