Sekumpulan perompak menggunakan bom buatan sendiri untuk meletupkan mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank di Ayer Keroh Height, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.05 pagi itu, penjenayah menggunakan dua bom untuk meletupkan mesin pengeluaran wang automatik ATM.

Bagaimanapun hanya sebuah ATM berjaya diletupkan menggunakan bahan letupan berkenaan, sebelum penjenayah melarikan diri bersama wang tunai.

Sebutir lagi bom dikenalpasti sebagai bom paip, ditinggalkan perompak di ATM tersebut.

"Bom kedua yang ditemui didapati masih aktif dan dipercayai 'misfire' dalam kejadian tersebut. Bom tersebut telahpun diletupkan oleh polis bagi tujuan keselamatan," kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.

Siasatan awal mendapati bom yang digunakan dinyalakan menggunakan sumbu yang dibakar.

Bom itu bagaimanapun berjaya diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Bukit Aman sekitar 10.25 pagi menggunakan robot bagi tujuan keselamatan.

Bom Air Keroh
Bom kedua berjaya diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Bukit Aman pagi tadi - Foto PDRM

Polis juga akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut bagi mengenal pasti individu dan kenderaan yang keluar masuk kawasan itu.

"Saksi ada melihat suspek yang terlibat memakai topeng dan keluar masuk kawasan tersebut. Selepas ini kami akan jumpa pengurus bank bagi meningkatkan keselamatan terutamanya pada sebelah malam dan awal pagi," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata rompakan berkenaan dipercayai dilakukan oleh individu yang berpengalaman.

"Kita lihat cara (suspek) letakkan bahan letupan itu ada kepakaran. Jumlah diletakkan tidak terlalu banyak... (bom itu) dapat rosakkan mesin. Sebelum ini kita lihat ada cubaan (kes lain) tetapi tidak dapat pecahkan mesin ATM," katanya kepada pemberita di sini.

"Kita juga percaya kejadian ini lakukan oleh lebih daripada dua orang suspek yang juga dipercayai melarikan sejumlah wang daripada mesin ATM tersebut. Jumlah wang dilarikan dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sehubungan itu beliau mengarahkan semua ketua polis daerah supaya meningkatkan rondaan di kawasan bank dalam daerah masing-masing bagi mengelak kejadian itu daripada berulang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya segera menghubungi polis.