Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk terus memimpin negara adalah demi kestabilan ekonomi dan politik negara.

Menurut Azmin, beliau tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak dalam mengeluarkan kenyataan tersebut dan berharap tindakannya tidak disalah tafsir.

Azmin berkata, kepimpinan Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar-dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

"Saya tidak berhasrat menyinggung mana-mana individu. Bagi saya bagi tumpuan dan percaya rakyat di bawah terlalu penat berpolitik. Baru setahun sudah bincang perkara politik, ini tidak sihat," kata Azmin lagi.

Azmin berkata demikian selepas majlis Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri bagi menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan ketua-ketua jabatan di Georgetown pada Jumaat.

Kenyataan Azmin itu sebagai merujuk dakwaan segelintir pihak sokongannya kepada Dr Mahathir untuk menerajui tampuk pemerintahan negara sehingga ke akhir penggal adalah kerana tidak menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan .

Dalam pada itu, Azmin menjelaskan, kekerapan beliau mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir adalah bagi membincangkan soal ekonomi dan langsung tidak menyentuh isu politik.

"Saya ada banyak mesyuarat dengan PM (Perdana Menteri) yang tumpuan utama berkisar pada isu ekonomi seperti sekarang kita sedang menyediakan RMK12, jadi saya perlu berbincang dengan PM apakah keutamaan yang perlu diberi perhatian.

"Jadi, dari semasa ke semasa, jadi masa saya sangat padat tidak bincang isu politik tetap tumpuan adalah soal ekonomi," ujar beliau lagi.

Azmin sebelum ini menyuarakan sokongannya agar Dr Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Sokongan Azmin itu juga senada dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan UMNO menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.