Tutup

Bajet, GST dan moral

PERSIDANGAN Parlimen bagi perbahasan Bajet 2014 pada minggu lepas hakikatnya tiada yang baru. Apa yang baru ialah sebelum Bajet 2014 dibentangkan, buku laporan audit diletakkan lebih awal di atas meja semua Ahli Parlimen.

Kami menerima laporan audit pada hari terakhir awal Oktober lalu sebelum masuk pada 23 Oktober 2013 untuk persidangan bajet.
Namun apa yang biasa ialah laporannya yang penuh dengan maklumat ketirisan berpandukan kepada pengauditan tertentu yang digunakan oleh Jabatan Audit Negara. Pendahuluan kepada pembentangan Bajet 2014 buat sekian kalinya dibayangi oleh kegagalan tatakelola kewangan negara.

Kenyataan bahawa buku laporan audit telah diberi lebih awal kali ini berbanding tahun lepas tidak dapat mengubah keadaan bahawa salah guna dana awam yang diamanahkan kepada kerajaan Barisan Nasional terus berlaku.

Pemikiran Bajet BN

Bajet sebenarnya tidak boleh berfikir tetapi cara perencana bajet boleh dikesan dengan gaya boros dan tidak bertanggungjawabnya. Pemikiran bajet kerajaan BN ialah belanja dan beri selagi kita boleh ambil dari poket rakyat.

Sebenarnya tidak salah untuk mengambil dari poket rakyat tetapi yang salah ialah cara dan bagaimana kerajaan membelanjakan duit yang diambil itu.

Jikalau kita memberi duit kepada seseorang lalu mendapati duit itu digunakan dengan cara boros dan tidak bertanggungjawab, apakah kita rela atau reda duit kita diperlakukan demikian?

Sebaliknya jika duit kita digunakan dengan baik dan bertanggungjawab sudah tentu kita tidak ada masalah untuk memberinya lagi.

Dalam suasana kerajaan BN mengekalkan rekod tatakelola kewangan yang buruk, bajet kali ini memperkenalkan good and service tax (GST) pula –  dan ini tidak banyak membantu keyakinan rakyat terhadap moral kawalan kewangan pemimpin kerajaan BN.


Apa salah GST?

Tiada salahnya GST, yang salah ialah keabsahan moral BN yang nak mengambil cukai daripada rakyat sedangkan isu ketirisan dan pemborosan tidak digarap dengan satu komitmen yang penuh bertanggungjawab.

Kerajaan BN tidak serius untuk menangani penyelewengan kewangan dana awam sedangkan adalah menjadi syarat utama mana-mana kerajaan yang melaksanakan dasar cukai yang bertanggungjawab untuk mengasaskan sebuah kerajaan yang telus dan cekap tatakelola kewangannya.

Dengan latarbelakang ini, kami dari Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bukan menentang GST,  tetapi kami menentang suasana kerajaan yang boros dan membazir tidak patut menyelesaikan masalah dengan menggunakan pendekatan cukai menyeluruh atau GST.

Kerajaan dalam suasana ini seharusnya mereformasikan cara tatakelola kewangannya bukan melonggokkan masalahnya kepada rakyat!


Bijak dan berhemah

Bagaimana rakyat boleh menerima percukaian baru GST jika ciri utama bajet iaitu ‘bijak’ dan ‘berhemah’ tidak ada dalam perbelanjaan kewangan negara. Pejabat Perdana Menteri seharusnya menjadi contoh kepada prudent spending tetapi pada kadar peruntukan yang tinggi iaitu 16 bilion, PM kita tidak meletakkan asas yang baik kepada Kementerian yang lain.

Apa yang mengecewakan ialah sebahagian besar peruntukan melibatkan bayaran gaji mewah pegawai kontrak dari agensi yang ditubuhkan oleh Pejabat Perdana Menteri malah CEO agensi seperti PEMANDU, Talent Corp, Agensi Inovasi Malaysia, SPAD menikmati gaji lebih tinggi dari gred tertinggi penjawat awam.

Apakah rasional perbelanjaan yang besar ini?

Apakah dengan penubuhan agensi-agensi yang ‘memakan’  poket perbelanjaan awam, tata kelolaan kewangan dan projek kerajaan jadi lebih berkesan?

Tanyalah kepada laporan audit, anda akan berjumpa jawapannya.

Ketirisan tetap menjadi tema perbahasan bajet buat sekian kalinya, dianggarkan keseluruhan ketirisan mencecah  RM 20-30 bilion, manakala projek yang sarat dengan pelbagai masalah seperti PLKN yang menelan belanja RM 750 juta tahun 2012.

Apakah ia perlu diteruskan atas akaun rakyat?

Apabila berhemah dan bijak tidak lagi menjadi ciri utama bajet BN, bagaimana kerajaan mengatakan mereka perlu melaksanakan cukai menyeluruh?


Berkesan

‘Jiwa besar’ BN tidak memberi alasan untuk mengatakan bajet kerajaan BN berkesan, ini adalah kerana niat baik satu hal tetapi keberkesanan membantu satu hal yang lain.

Dalam hal ini, isu subsidi menjadi perbahasan hangat apabila rasionalisasi subsidi mengisyaratkan persediaan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan subsidi.

Selama ini subsidi menelan belanja yang besar dari keperluan bahan api dan makanan asas. Keberkesanan subsidi ialah apabila ia sampai tepat kepada kelompok yang memerlukan tetapi apabila ia dilaksanakan secara umum ia berpotensi untuk menjadi ketagihan kepada rakyat.

Subsidi secara umum tidak lagi berupaya untuk menampung suasana perbelanjaan kerajaan yang semakin meningkat sedangkan pendapatan semakin menguncup.

IMF mencadangkan peralihan kepada subsidi bersasar supaya perbendaharaan negara dapat melakukan penjimatan untuk disalurkan kepada peruntukan pembangunan dan modal insan.

Negara kita sedang menuju ke arah itu, namun data supaya sasaran kelayakan penerima subsidi dari rakyat Malaysia masih kabur. Pusat pengumpulan data yang komprehensif berpandukan pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000 adalah diperlukan.

Subsidi bahan api seperti petrol tidak berkesan kerana yang menikmati secara maksima ialah golongan mewah dan bukan golongan berpendapatan rendah, di sini berlaku pembaziran subsidi dari sudut kelompok sasaran.

Dengan sasaran, yang mampu terpaksa berkorban untuk membeli harga pasaran dan dengan itu kita dapat menyelamatkan peruntukan subsidi disalurkan kepada pembangunan dan pendidikan.

Malangnya struktur peralihan dari subsidi umum ke subsidi bersasar masih tidak kelihatan dalam bajet 2014 sedangkan inilah pendekatan terbaik untuk mengelakkan bebanan ke atas belanjawan kerajaan.


Reformasi bajet

GST bukan jawapan untuk menyelesaikan bajet seimbang yang diunjurkan oleh kerajaan menjelang 2020 selagi bajet tidak direformasikan.

Reformasi bajet melibatkan peningkatan pendapatan kerajaan melalui kaedah pencukaian yang lebih berkesan.

Antara yang boleh meningkatkan pendapatan dengan syarat kerajaan itu bertanggungjawab dan telus ialah dengan memperluaskan lingkungan pembayar cukai, memperkenalkan cukai keuntungan modal, meningkatkan duti stem untuk transaksi hartanah nilai tinggi.

Cukai yang ‘dilarikan’ perlu diambil balik termasuk mereka yang terlibat dalam kegiatan money laundering di mana dianggarkan RM 220 bilion dilesapkan sejak tahun 2009.

Ini merupakan satu sumber pendapatan yang telah dikhianati untuk kepentingan sendiri dan perlu dijejaki melalui mengheret mereka ke muka pengadilan.

Laporan audit perlu diambil serius dengan membuat tindakan pantauan dan lanjutan sepanjang perlaksanaan Bajet 2014 manakala SPRM bertindak ke atas para penjenayah bajet supaya memberi pengajaran kepada mereka yang berpotensi atau terlepas dari mengkhianati dana awam.

Hanya kesungguhan membenteras ketirisan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap cara mana-mana kerajaan mengendalikan dana awam.


Kompas moral

Bajet bukan sekadar soal ekonomi pendapatan dan perbelanjaan negara, ia bukan sekadar makro ekonomi tetapi ia juga adalah perkiraan politik yang penuh bertanggungjawab kerana ia ada kena mengena dengan peranan kuasa.

Apa yang kita tidak mahu lihat ialah politik yang membuat keputusan separuh masak dan mementingkan kelompok tertentu dan semata-mata mahu mengekalkan kuasa.

Azam politik menuntut mereka yang berkuasa dan yang akan berkuasa memiliki keikhlasan dan kejujuran untuk meletakkan diri mereka dalam kompas moral sebelum menurunkan angka-angka dan petunjuk ekonomi.

Mampukah kita menikmati bajet berpemikiran baru untuk rakyat Malaysia?

Jikalau melalui pemikiran Bajet BN, saya no komen.

Anda bagaimana?

______________________

* Tulisan ini pertama kali tersiar di blog DrMujahid.com
** Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.