Banjir di Johor semakin pulih dengan bilangan mangsa semakin menyusut kepada 1,820 orang pada 8 pagi ini berbanding 1,880 pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mereka terdiri daripada 510 keluarga yang masih ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Tangkak dan Muar.

Buat masa ini, masih ada 1,141 mangsa daripada 307 keluarga ditempatkan di 20 PPS di Segamat diikuti 269 orang daripada 83 keluarga di empat PPS di Tangkak.

"Empat PPS di Muar pula menempatkan 410 mangsa daripada 120 keluarga", katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ayub, terdapat lapan jalan terputus hubungan iaitu Jalan Pogoh-Tekam, Seksyen 5.2-5.9 Jalan Kuala Paya-Balai Badang, Tumang Batu Anam-Kawasan Ladang, laluan ke Lubuk Lanjut dan laluan masuk Tangga Batu-Tahang Rimau di Segamat.

Di Muar, ia membabitkan Kilometer 61 Jalan Muar-Labis serta Jalan Pagoh Tekam manakala di Pontian, Jambatan Jalan Kampung Sungai Pinggan masih belum boleh dilalui.

-- BERNAMA