Banjir yang melanda empat daerah di Kedah sejak awal minggu lalu pulih sepenuhnya hari ini apabila pusat pemindahan terakhir di Surau Kampung Sungai Lintang, Yan dan Dewan Cenderawasih, Pendang ditutup.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Imran Azemi berkata ia ditutup selepas seramai 72 mangsa daripada 26 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing menjelang pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata kesemua 17 pusat pemindahan yang dibuka di daerah Yan, Kuala Muda, Baling dan Pendang sejak 19 Julai lalu ditutup hari ini setelah air kembali surut berikutan cuaca kembali cerah sejak Khamis lalu.

"Keadaan cuaca di Kedah hari ini juga dijangka cerah dan mangsa boleh pulang ke rumah untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing," katanya.