Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Perak, Mohd Zawawi Abu Hassan, 42 tahun, meninggal dunia di Hospital Taiping, kira-kira pukul 6.15 pagi Selasa.

Menurut adik Allahyarham, Shukri Abu Hassan, abangnya dimasukkan ke hospital kira-kira pukul 6 petang semalam kerana tekanan darah terlalu tinggi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Panchur, Bagan Serai, selepas solat Zohor hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 41 serta tiga anak berusia dua, lapan dan 16 tahun.

Pada 13 Februari tahun lalu, Astro Awani melaporkan Mohd Zawawi ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum dihantar ke Hospital Taiping.

Beliau tidak sedarkan diri selepas dikatakan terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Tebuk Panchur, kira-kira jam 10 pagi.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah darah tinggi yang dihidapinya.

Selepas menjalani rawatan di beberapa hospital seperti Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, beliau beransur pulih dan dibenarkan pulang Jun lalu.

Allahyarham menjadi ADUN Gunung Semanggol selama satu penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13.