KULAI: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata pertukaran calon veteran kepada calon muda pada pilihan raya, merupakan perkara biasa dalam mana-mana parti.

Beliau berkata pertukaran itu juga bagi memberi peluang kepada calon muda, untuk menyertai politik.

"Saya rasa ini (pertukaran calon) perkara biasa dan DAP juga tidak terkecuali, PKR dan UMNO juga turut gugurkan ahli veteran mereka dengan meletakkan muka baru.

"Ini perkara normal, takkan lah kita akan letak mereka selama-lamanya, jadi pertukaran itu perlu dilakukan apabila berbicara hendak melibatkan orang muda menyertai politik," katanya pada sidang media ketika ditanya mengenai keputusan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Dr P. Ramasamy, keluar daripada parti itu.

Beliau berkata demikian selepas memberikan sumbangan kepada enam pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Ibrahim, di sini hari ini.

Ramasamy yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, tidak tercalon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital juga berkata keputusan Ramasamy itu, tidak akan menjejaskan kempen DAP dan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan negeri itu, pada PRN kali ini.

Beliau berkata parti juga tidak mempunyai hak untuk menghalang keputusan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu.

"Saya rasa sekarang ini terpulang kepada pengundi untuk membuat penilaian, sebenarnya bukan di Pulau Pinang sahaja, tetapi juga di Selangor ada beberapa mantan Exco kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak tercalon dalam PRN. Reaksi mereka berbeza, ada yang kecewa dan ada yang masih berkempen untuk bantu calon, begitu juga yang ambil keputusan keluar parti.

"Jadi, saya rasa rakyat dapat lihat siapa yang setia kepada parti dan siapa yang melihat bahawa menjadi calon lebih penting daripada meneruskan agenda parti," katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa Ramasamy telah mengutus surat berhubung keputusannya itu kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada pagi ini.

-- BERNAMA