Padah mengubah wang haram, seorang bekas penolong jurutera awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Muda / Sik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Ishak Ismail, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, Ishak didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki wang tunai berjumlah RM1,113,250 yang merupakan hasil aktiviti haram di No 67, Batu 14, Simpang Tiga, Sungai Daun, Yan, jam 3 petang 19 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili Muhammad Arif Shaharuddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan, iaitu dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Azman kemudian menetapkan 13 hingga 16 November ini sebagai tarikh perbicaraan.