Kerajaan Sarawak diminta bertimbang rasa terhadap Kerajaan Persekutuan selepas negeri itu menjadi penerima peruntukan Belanjawan 2020 terbesar selepas Sabah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, menerusi Belanjawan 2020, Kerajaan Persekutuan telah menaikkan hampir 100 peratus peruntukan pembangunan kepada Bumi Kenyalang itu.

"Mereka dapat (peruntukan) yang tidak pernah diberikan sebelum ini oleh kerajaan lama. Sekiranya semasa kerajaan lama, mereka boleh berpuas hati sungguh pun mereka dapat kurang.

"Apabila sekarang mereka dapat lebih, mengapa tidak berpuas hati lagi? Itu yang saya kurang faham. Semasa di bawah kerajaan lama mereka dapat kurang.

"Seperti yang saya sebut semalam, semakan tidak dibuat sejak 1969. Kita buat semakan, kita tambah sekali ganda - 100 peratus. Itu pun tak puas hati. (Apakah) Kalau tak tambah puas hati? Kalau macam ini, adakah nak minta saya jangan tambah, baru puas hati?" ujarnya pada sidang media pasca Belanjawan 2020 di Parlimen pada Sabtu.

Beliau sebelum itu mengadakan taklimat tertutup dan sesi soal jawab bersama Exco-exco Kerajaan negeri seluruh negara berkenaan Belanjawan 2020.

Tambah Guan Eng, dengan memperuntukkan dana yang tinggi kepada Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, ia jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan amat mementingkan pembangunan di dua negeri itu.

"Sekiranya disebut bahawa nombor dua (negeri kedua menerima peruntukan tertinggi) masih tidak puas hati, macam ini bermakna 11 buah negeri lain juga tidak berpuas hati.

"Saya rasa, itu menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak di mana Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan nombor satu dan nombor dua tertinggi," jelas beliau lagi.