Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pengundi di DUN Sungai Limau memberi kepercayaan dan peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat, seterusnya membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan itu.

Katanya, adalah lebih mudah mencorak pembangunan di kawasan berkenaan jika pentadbiran kawasan DUN dan negeri selari dan ia lebih membawa keuntungan kepada rakyat kawasan itu sendiri.

Biarpun umum mengetahui kawasan DUN Sungai Limau kubu kuat PAS, namun katanya, jika diberi peluang, BN mampu membawa lebih banyak kemajuan kepada rakyat di kawasan itu.

“Bagi BN, kita hendak menawarkan khidmat dan jika BN diberi kepercayaan oleh rakyat Kedah untuk menerajui kerajaan di peringka negeri, maka segala urusan lebih mudah untuk diselesaikan seperti amsalah rakyat, pembangunan dan sebagainya,” kata Muhyiddin.

Katanya, pengalaman luas BN dalam mentadbir negeri dan negara yang memberi pembangunan dan bantuan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama telah terbukti dan diyakini rakyat.

Justeru, sudah tiba masanya, pengundi di Sungai Limau memberi peluang kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.

Muhyiddin juga berkata, bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional di kawasan itu, semua Jentera BN telah bersiap sedia untuk menggempur di kawasan kubu kuat PAS itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas pada Majlis Santai Bersama Rakyat di Pekan Sungai Limau petang tadi yang dihadiri lebih 1,000 penduduk tempatan.

Terdahulu, beliau meluang masa kira-kira setengah jam bertemu dan bersalaman dengan penduduk dan orang ramai yang hadir ke program berkenaan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri, (ADUN) Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13 ) pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd Fazillah Mohd ALI yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya DUN Sungai Limau merupakan PRK kedua selepas PRU-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu.