ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad 31 Mei 2020.

1) WHO keluar garis panduan 'mass gathering', aktiviti luar

Setelah hampir empat bulan semua perhimpunan ramai (mass gathering) termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan ekoran penularan COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan satu garis panduan untuk digunakan orang ramai yang masih mahu mengadakan perhimpunan jika dizinkan pihak penguat kuasa.

2) Lebih 367,000 korban COVID-19 di seluruh dunia

Angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat. Setakat awal pagi ini, angka itu menyaksikan kenaikan 2,000 korban dalam tempoh 24 jam dengan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu melepasi 367,000 kes.

3) Kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini cecah 6 juta

Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 6 juta. Menurut data dari Johns Hopkins University, dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan lebih 200,000 kes.

4) Masjid Al-Aqsa dibuka semula setelah dua bulan ditutup

Setelah dua bulan ditutup bagi mengekang penularan koronavirus, Masjid Al-Aqsa dibuka semula dengan menetapkan beberapa syarat sebagai langkah berjaga-jaga.

5) COVID-19: Singapura catat 518 kes baharu, jumlah keseluruhan cecah 34,884

Data awal Singapura mengesahkan sejumlah 518 lagi jangkitan COVID-19 hari ini dengan hanya tiga daripadanya adalah dalam kalangan komuniti tempatan yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu setakat ini ialah 34,884.

6) COVID-19: Thailand lapor empat kes baharu, sifar kematian

Thailand melaporkan empat kes baharu COVID-19, kesemuanya melibatkan rakyat Thailand yang kembali dari luar negara dan sifar kematian sepanjang 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 3,081 kes dengan 57 kematian.

7) Gagal patuhi SOP COVID-19, Indonesia laksana hukuman denda di khalayak umum

Penduduk yang gagal mematuhi perintah larangan bagi membendung COVID-19 akan dimalukan atau dihukum di khalayak umum bagi memberi kesedaran kepada semua.

8) NASA, SpaceX lancar Falcon 9 dalam misi bersejarah ke ISS

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) meneruskan kegemilangan penerbangan angkasa setelah hampir satu dekad tertangguh dengan pelancaran bersejarah roket Falcon 9 pada petang Sabtu.

9) Protes keganasan polis Minneapolis merebak ke 30 bandar

Protes kematian lelaki kulit hitam George Floyd akibat keganasan polis di Minneapolis, Minnesota kini merebak ke 30 bandar lain.

10) Gempa 6.1 magnitud gegar Peru

Satu gempa bumi berkekuatan 6.1 magnitud menggegarkan barat Peru sebentar tadi. Menurut European Mediterranean Seismological Centre (EMSC), gempa pada kedalaman 144 km itu dikesan 28 km dari bandar Lampa.