Memperkasa, mensejahterakan rakyat serta melonjakkan potensi seluruh negeri dalam pelbagai bidang akan menjadi antara intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang akan dilancarkan esok.

BN Johor berkata manifesto yang sangat ditunggu-tunggu pelbagai pihak terutamanya masyarakat di negeri ini, bakal dilancarkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Pengerusi BN Johor.

"Berdasarkan perkembangan kemajuan yang sedang berlaku di Johor, tawaran manifesto BN Johor bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka terus meletakkan negeri itu di hadapan dengan pelbagai potensi yang ada.

"Ia turut dijangka menampilkan tawaran dan kecerdasan baharu untuk negeri Johor bagi tempoh lima tahun akan datang yang akan memberi pelbagai limpahan manfaat kepada rakyat," kata BN Johor dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain memperkasa dan mensejahterakan rakyat, antara fokus lain yang dijangka menjadi sebahagian manifesto BN Johor termasuklah komitmen BN dalam mencipta pelbagai peluang untuk rakyat, mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta menjayakan projek-projek mega.

Pelancaran manifesto BN Johor akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru bermula pukul 11 pagi esok dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Menteri Besar Johor di www.facebook.com/MohamedKhaledNordin.

Seramai 3,000 jemputan termasuk pemerhati dijangka menghadiri majlis tersebut.

-- BERNAMA