Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai sebarang masalah terhadap inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mahu membina ruang khas merokok di tempat awam.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan pelaksanaannya perlu mematuhi syarat jarak yang sebelum ini telah ditetapkan iaitu tiga meter dari premis makanan.

Beliau menjelaskan KKM memahami keperluan perokok yang mahukan tempat untuk merokok namun tidak mempunyai keupayaan untuk menyediakan tempat begitu.

Disebabkan itu pihaknya tidak mempunyai masalah dengan inisiatif KPKT yang mahu menyediakan kemudahan untuk perokok.

"Selama mana mereka boleh mematuhi peraturan seperti jarak 3 meter atau 10 kaki, kami tidak ada masalah langsung dengan hasrat KPKT itu.

"KKM tidak ada keupayaan menyediakan tempat begitu, sementara saya faham keperluan perokok, saya bukan musuh perokok, saya mahu mereka (perokok) jugafaham peraturan supaya tidak merokok.

"Kami mahu mereka faham hasrat kami yang mahu mencapai udara bersih di tempat makan awam," katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah Sk STF 73 di Surau Al-Ikhlasiah Keramat Jaya, pada Ahad.

KPKT pada 8 Januari lalu berkata akan membina ruang khas untuk merokok di tempat awam dengan peruntukan RM1 juta diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyediakan kemudahan itu.

Namun Persatuan Pakar Perubahan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan 56 NGO lagi membantah keputusan KPKT yang dianggap memberi mesej yang salah kepada perokok.

Mereka juga beranggapan bahawa peruntukan untuk membina ruang khas bagi perokok di tempat awam itu sebagai membazir wang rakyat sementara sejumlah wang itu boleh digunakan untuk menganjurkan program membantu golongan perokok berhenti.