Mohd Syah Razad Syah Lizan, 30 tahun menyimpan impian untuk membuka sebuah studio muzik.

Kini impian itu tercapai hasil kudrat anak kelahiran Keningau ini.

Dia menggunakan ruangan tingkat atas di Kompleks Arshad di sini sebagai tempat untuk peminat muzik 'jamming' dan anak muda berkarya.

Pemilik studio Music Haus ini memberitahu dia lebih suka menjalankan perniagaan sendiri berbanding makan gaji, sambil mengakui ia turut didorong oleh kekurangan peluang pekerjaan khususnya di luar bandar.

"Ramai kawan-kawan saya yang ke luar negara seperti Korea dan Australia untuk mencari kerja. Mereka beritahu sini susah cari kerja. Kalau ada pun gaji RM500 sebulan tidak cukup," katanya.

Setelah lapan tahun menguruskan studionya itu, Syah Razad melihat banyak perniagaan di premis itu mula ditutup.

"Saya dan beberapa rakan yang menjalankan perniagaan merasakan keadaan ekonomi sekarang sangat perlahan. Dalam tempoh setahun, saya lihat kedai-kedai kecil di sini mula ditutup satu-per-satu kerana tidak membawa untung," katanya lagi.
Syad Razad memulakan perniagaan ini selepas kekurangan peluang pekerjaan untuk anak muda di Keningau.
Dia berharap wakil rakyat yang bakal dipilih nanti dapat menangani masalah yang membelenggu anak-anak muda khususnya yang tinggal di luar bandar sepertinya.

"Secara peribadi saya tidak melihat kepada calon atau parti tetapi isu yang dibawa," katanya

Isu-isu yang menjadi penentu untuk Syah Razad lebih cenderung ke arah pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.

Berbeza dengan golongan pengundi yang lebih berumur, prinsip anak muda ini dalam pemilihan calon mudah, 'belum cuba belum tahu'.

"Siapa sahaja tidak boleh menjamin masa depan. Ya, ia mungkin satu risiko. Tetapi kita sudah nampak keadaan sedia ada sekarang, jadi apa salahnya kita cuba sesuatu yang baharu? Kalau dia (wakil rakyat) tidak menjalankan tugasnya dengan baik, PRU seterusnya kita pilih yang baharu lagi," katanya.
Dinding di dalam studio milik Syah Razad.
Sabah merekodkan jumlah pengundi berdaftar seramai 1,117,337. Kira-kira 40 peratus daripadanya adalah terdiri daripada pengundi muda.

Mahu atau tidak, Syah Razad dan golongan pengundi muda dalam lingkungan umur 21 hingga 39 tahun ini bakal menjadi penentu dalam PRU14.

Jumlah undi yang tinggi daripada golongan pengundi muda ini pastinya mampu memberi kemenangan kepada calon dan parti bertanding.