Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang malam tadi membawa turun seorang pendaki yang mengalami kekejangan anggota badan akibat cuaca sejuk semasa mendaki di Bukit Fraser, dekat sini semalam.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Raub Khairul Anuar Yaakob berkata mangsa, seorang lelaki berusia 25 tahun mengalami kesukaran untuk bergerak selepas kumpulan pendaki yang terdiri daripada 15 anggota itu berjaya sampai ke puncak dan mahu menuruni bukit itu.

"Kebanyakan anggota kumpulan itu tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya merancang untuk mendaki Bukit Fraser.

"Pada asalnya hanya 14 orang yang mendapat permit daripada polis dan mangsa membuat keputusan menyertai mereka pada saat-saat akhir," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Khairul Anuar menambah kumpulan yang terdiri daripada 10 lelaki dan lima perempuan itu memulakan pendakian pada 5.30 pagi semalam dan mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke puncak sebelum bergerak turun pada 4 petang.

Khairul Anuar berkata mangsa bagaimanapun mengalami kesukaran untuk bergerak sekitar 7 malam, menyebabkan anggota kumpulan itu meminta bantuan bomba.

"Empat anggota bomba memulakan operasi menyelamat pada 7.30 malam dan tiba di lokasi mangsa pada 9 malam dan memberi rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum dibawa turun pada 10 malam," katanya.

Khairul Anuar menambah mangsa tiba di kawasan mula mendaki pada 12.05 tengah malam dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Fraser untuk pemeriksaan lanjut. -- BERNAMA