Sempena bulan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman kepada semua saman boleh kompaun yang dikeluarkan jabatan itu dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tawaran bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos 2020.

"Tawaran yang bermula 1 Ogos 2020 sehingga 31 Ogos 2020 ini diberikan kepada semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

"Sebanyak 70% pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah Akta yang tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Ujarnya, pengurangan saman itu akan dilaksanakan di semua pejabat JPJ serta saluran pembayaran lain JPJ seperti Portal mySIKAP JPJ, Kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Bagi kesalahan yang telah disenarai hitam, orang ramai dikehendaki untuk hadir ke pejabat JPJ cawangan ataupun negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dapat dilakukan.