Laluan pejalan kaki berbumbung di Jalan Kampung Daik berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini terpaksa ditutup kepada orang awam bermula hari ini setelah satu per empat daripadanya runtuh pada pukul 6 pagi tadi.

Penutupan laluan sepanjang 400 meter itu dibuat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata struktur sepanjang 100 meter daripada laluan berbumbung sepanjang 400 meter itu runtuh, dalam hujan lebat dan angin kencang pagi tadi.

"Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda orang awam ketika kejadian berlaku.

Namun, MBKT tetap menutup seluruh laluan itu kerana bimbang kejadian sama berulang lagi dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas meninjau laluan pejalan kaki itu di sini hari ini.

Laluan yang dibina dengan kos RM600,000 menerusi peruntukan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui program 'Kesejahteraan Bandar' itu mula digunakan pada Jun 2015.

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui pemeriksaan awal, tiang-tiang itu patah kerana tidak dapat menampung beban bumbung dalam keadaan cuaca buruk hujan lebat dan angin kencang yang berlaku sekarang.

"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut terlibat dalam siasatan itu. MBKT akan menunggu laporan siasatan dari konsultan dalam tempoh lima hari dan akan menyelesaikan perkara ini dalam tempoh sebulan. Apabila laluan ini benar-benar disahkan selamat, ia boleh digunakan semula oleh orang awam seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengulas kejadian itu berkata pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada MBKT berhubung kejadian bagi mengetahui punca sebenar struktur berkenaan runtuh.

"Adakah ia runtuh sebab reka bentuk atau pun kecuaian manusia atau bencana... jadi kita kena tengok dulu sebelum putuskan apa yang perlu dilaksanakan. Pada masa sama saya telah mengarahkan Datuk Bandar supaya memantau dan meneliti supaya keseluruhan struktur-struktur yang melibatkan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA