Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka kukuh hari ini, menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.14 mata, atau 0.76 peratus kepada 1,339.02 daripada 1,328.88 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks utama dibuka tinggi 7.72 mata kepada 1,336.60.

Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 294 berbanding 35, manakala 99 kaunter tidak berubah, 1,570 tidak diniagakan dan 96 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 142.76 juta bernilai RM70.45 juta.

"Ini berikutan pelabur menilai usaha untuk memperlahankan penularan COVID-19 dan menghalang ekonomi daripada impak yang hampir kepada sekatan pergerakan masuk dan keluar di seluruh Amerika Syarikat," katanya.

Dalam nota berasingan, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berkata harga minyak sawit yang meningkat dapat mengimbangi suasana suram dalam sektor perladangan, manakala minat belian dijangka wujud dalam saham berkaitan pengguna susulan pakej rangsangan baru-baru ini yang bertujuan meningkatkan penggunaan domestik.

"Dari segi teknikal, kami menjangka FBM KLCI berada antara 1,300 dan 1,380 hari ini. Sokongan penurunan berada pada 1,240 dan 1,211," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM7.39, Tenaga menambah dua sen kepada RM11.82, Public Bank meningkat 24 sen kepada RM16.06, IHH menokok empat sen kepada RM5.19, bagaimanapun Maxis susut lima sen kepada RM5.45.

Daripada saham aktif, Vortex dan Armada, masing-masing naik setengah sen kepada 5.5 sen dan 13.5 sen, Careplus menokok dua sen kepada 28.5 sen, UWC menambah lima sen kepada RM1.75 manakala Trive Property tidak berubah pada satu sen.

Kaunter paling untung didahului oleh Carlsberg yang naik 38 sen kepada RM25.28, Hong Leong Financial dan LPI Capital, masing-masing meningkat 28 sen kepada RM14.08 dan RM11.70, Hong Leong Bank menokok 22 sen kepada RM13.64 dan United Plantations menambah 20 sen kepada RM24.90.

Indeks FBM Emas naik 80.77 mata kepada 9,161.17, Indeks FBM Emas Shariah menambah 54.79 mata kepada 9,963.75 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 76.67 mata kepada 9,094.40.

FBM 70 menambah 121.18 mata kepada 10,502.81 dan FBM Ace menokok 64.42 mata kepada 3,847.89.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.34 mata kepada 194.17, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 163.60 mata kepada 12,300.34 dan Indeks Perladangan meningkat 15.27 mata kepada 6,058.44.- BERNAMA