Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersedia menimbangkan cadangan untuk menggunakan dron bagi meninjau aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata jika kaedah itu dilihat efektif, kementerian akan berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan bagi melaksanakannya.

"Kita sedang buat kajian, mungkin kita cuba guna dron sebagaimana yang dicadangkan YB Kuala Terengganu untuk bantu kita pantau aktiviti nelayan asing," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membangkitkan isu keselamatan nelayan-nelayan tempatan yang terancam apabila berdepan dengan kapal-kapal penceroboh terutamanya nelayan dari Vietnam.

Beliau juga mendakwa penguatkuasaan agensi berkaitan tidak berkesan selain aduan nelayan tempatan tidak dilayan.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bukanlah satu-satunya pihak yang memantau perkara berkenaan sebaliknya ia bekerjasama dengan agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia bagi memastikan penguatkuasaan diperketatkan.

"Setakat ini, bot-bot dipasang dengan Mobile Tracking Unit (MTU) dan Automatic Identification System (AIS) bagi memantau pergerakan nelayan-nelayan ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan mengkaji semula Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras negara, beliau berkata prestasi syarikat berkenaan sentiasa dipantau kerajaan dari semasa ke semasa.

Ini bagi memastikan ia menjalankan tanggungjawab sosial termasuk menjamin belian padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan mengurus serta mengekalkan stok penimbal negara pada paras kuantiti ditetapkan kerajaan.

Menurutnya Malaysia telah mencapai Tahap Sara Diri (SSL) 70 peratus sejak tahun 2010 dan sehingga kini SSL negara adalah pada kadar 71.4 peratus.

"Import beras tahunan pada 2014 adalah sebanyak 863,358 tan metrik dengan nilai RM1.6 bilion.

"Jumlah import beras pada tahun lepas adalah sebanyak 960,830 tan metrik dengan nilai RM1.8 bilion dan sehingga Jun tahun ini, jumlah import beras yang direkodkan adalah 403,227 tan metrik dengan anggaran nilai RM700 juta," katanya.

Antara usaha yang dilakukan bagi meningkatkan tahap SSL negara adalah dengan membuka jelapang padi baharu seperti di Pekan, Rompin, Kota Belud dan Batang Lupar, selain mengguna benih sah dan menggalakkan pesawah mengamalkan pertanian baik. - BERNAMA