Kluster Pedas setakat ini sudah menjangkiti 316 individu termasuk 12 kes baharu yang dilaporkan pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan COVID-19 ke atas 957 kontak rapat termasuk rakan sekerja dan ahli keluarga mereka.

"Kesemua kes positif itu membabitkan 14 kes dalam kalangan warganegara Malaysia sementara 302 kes lagi adalah warga asing," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, daripada kseluruhan jumlah kluster itu, 163 kes adalah warga Nepal, Bangladesh (67), Myanmar (35), Indonesia (31), India (empat) dan masing masing satu kes melibatkan warga Vietnam dan Kemboja.

Sementara itu katanya, dua belas kes baharu yang dilaporkan daripada kluster itu, dikesan hasil saringan COVID-19 yang kelima dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.

Dalam pada itu, 22 kluster lain di negara ini katanya, tiada pertambahan kes setakat ini.

Mengimbas mengenai kluster itu, Noor Hisham berkata, ia bermula dalam kalangan rakyat tempatan dan kemudian menjangkiti pekerja bukan warganegara.

Katanya, situasi tempat kediaman yang sesak dan sempit bagi golongan bukan warganegara merupakan antara faktor utama penularan itu.

Walaupun begitu katanya, mereka yang terlibat dalam kluster itu telah diasingkan di pusat kuarantin.

"Mereka adalah terasing daripada masyarakat dan tidak memberi risiko kepada umum," jelasnya.