Situasi COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif selepas menyaksikan buat kali ketiga Malaysia tidak mencatatkan sebarang kes penularan tempatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, enam kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 8,683 kes.

Jelas beliau, kesemua enam kes tersebut merupakan kes import yang masing-masing melibatkan lima warganegara dan satu bukan warganegara.

Daripada jumlah tersebut, tiga kes pulang dari Indonesia, dua kes dari Singapura, manakala satu lagi dari Mesir.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 13 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj pada Khamis, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,499 atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula menurun kepada 63 kes berbanding hari sebelumnya.

Selain itu, Dr Noor Hisham mengesahkan tiada sebarang kematian berkaitan COVID-19.

Justeru, jumlah kumulatif kematian di negara ini kekal sebanyak 121 kes atau 1.39 peratus daripada keseluruhan kes.

Setakat ini, dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala satu lagi memerlukan bantuan pernafasan.