Kluster kilang di Pasir Gudang di Johor ditamatkan hari ini selepas melalui proses pemantauan selama 28 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut merekodkan 15 kes positif COVID-19, dengan satu kematian.

Dalam pada itu, beliau berkata enam lagi kluster masih aktif jangkitan COVID-19, setakat Jumaat.

“Kluster yang aktif adalah kluster Kg Sungai Lui, ada pertambahan 10 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 184 kes.

“Kluster pengawal keselamatan di Cheras ada pertambahan sembilan kes, menjadikan jumlah sebanyak 24 kes.

“Kluster Pudu pula ada pertambahan dua kes menjadikan 32 kes, manakala kluster Pedas ada pertambahan satu kes menjadikan jumlah 162, manakala kluster Benus, Bentong ada pertambahan satu kes menjadikan lima kes dan lain-lain kluster tiada pertambahan kes hari ini,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan 11 kes baharu COVID-19 membabitkan perhimpunan Sri Petaling.

Daripada jumlah tersebut, dua kes dikesan membabitkan generasi kedua, manakala selebihnya adalah generasi ketiga.

Ujarnya, setakat ini sebanyak 38,411 sampel telah diambil melibatkan perhimpunan tersebut.