Tiada pembelian panik susulan pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Tinjauan Astro AWANI di beberapa pasar raya di sekitar Lembah Klang mendapati keadaan masih terkawal.

Keadaan itu disumbang beberapa faktor antaranya, persediaan awal pengguna dan pengumuman awal kerajaan mengenai perkara itu.

Walaupun imej orang ramai dilihat membanjiri pasar raya, ini bukan situasi yang baharu, sebaliknya perkembangan biasa sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.

Dalam hal ini, orang ramai akui mereka masih tenang dan tidak membuat pembelian panik sebaliknya mengambil barangan yang benar-benar perlu sahaja.


Bagi Juruteknik, Nazri Hashim, 52 tahun, beliau tidak membuat pembelian panik sebaliknya ini merupakan kuantiti untuk keluarga setiap bulan.

"Keluarga saya ada tujuh orang. Ini memang kuantiti biasa yang saya beli setiap bulan apabila dapat gaji.

“Kami tidak membuat pembelian terburu-buru kerana kami memang tahu barangan dijamin mencukupi. Jadi tidak perlu untuk kami buat “panic buying” atau membuat stok,” katanya.


Bagi pemandu Grab, Kumanan Sahadevan, 30 tahun, dia hanya membeli barangan yang diperlukan mengikut senarai yang disediakan adiknya.

“Sebenarnya, saya hanya ikut senarai yang disediakan adik saya. Anda boleh lihat senarai saya di tangan saya. Oleh itu, saya hanya ikut senarai ini.

“Pembelian ini tidak sebanyak apa yang kami beli pada setiap bulan. Ini sekadar persiapan,” ujar Kumanan.


Perkara sama turut dikongsi pekerja swasta, Sri Kuncari yang dipilih dalam kalangan rakannya untuk keluar membeli barangan keperluan.

“Rakan-rakan saya ada memberi saya senarai barangan yang ingin dibeli mereka kerana kami tidak boleh keluar beramai-ramai kan?

“Oleh itu, saya keluar seorang diri dan empat rakan saya yang lain mengirimkan barang dengan saya. Saya tulis senarai macam kawan ini ingin beli barangan apa dan seterusnya,” jelas Sri.

Tinjauan turut mendapati, stok barangan keperluan seperti beras dan telur selain ikan masih mencukupi.


Pihak pasar raya sendiri memaklumkan, mereka sentiasa menambah bekalan sebagai keperluan pengguna ketika tempoh PKP.

Walaupun tempoh PKP sudah dilanjutkan selama dua minggu, orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik.

Hal ini kerana dalam perutusan khasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bekalan makanan adalah mencukupi.

Oleh itu, duduk di rumah, kekal tenang dan hapus COVID-19.