Tiga lagi kluster baharu melibatkan warga asing dikesan di Pahang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster baharu itu membabitkan 15 pekerja warga asing iaitu tujuh individu di kluster Ladang Bera, di Bera sementara Kilang Papan dan Syarikat Pembinaan di Maran masing-masing merekodkan enam dan dua kes.

Menurutnya, kluster-kluster baharu itu dikesan pejabat kesihatan negeri ketika melakukan pensampelan secara rawak di kawasan itu.

"Sebaik sahaja dikesan, kami terus laksanakan pengesanan kes aktif dan mereka yang disahkan positif diasingkan terus sementara yang negatif diwajibkan kuarantin selama 14 hari," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, di sini pada Ahad.


Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat punca jangkitan ketiga-tiga kluster tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 daripada pesakit yang disahkan positif namun tiada gejala dalam tempoh sehingga 14 hari adalah hampir sifar.

"Kalau terus tiada gejala untuk 14 hari, tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

"Apa yang membimbangkan adalah mereka yang mendapat gejala selepas beberapa hari dijangkiti virus itu," ujarnya.

Kata beliau, ini kerana virus tersebut akan menjadi aktif dua hari sebelum atau minggu pertama seseorang itu sebelum mendapat gejala.