Cubaan letup, rompak mesin ATM di Bangi gagal

Cubaan letup, rompak mesin ATM di Bangi gagal
Ahmad Dzaffir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam. --fotoBERNAMA
BANGI: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Wisma Unikeb di sini diletupkan malam tadi, dipercayai dilakukan dua lelaki bertopeng yang cuba menyamun wang daripada mesin itu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai dua lelaki yang datang menaiki kereta cuba memecahkan mesin ATM dengan bahan letupan namun kami masih mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, bagaimanapun, suspek gagal melarikan peti wang mesin ATM itu selepas dua kali cuba melakukan letupan pada jam 7.53 malam.

Sehubungan itu, polis sedang mengesan suspek bertopeng yang dipercayai meletupkan mesin ATM itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Siasatan turut dijalankan unit pemusnah bom, katanya.