KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket curi dan ubahsuai lori di sekitar Lembah Klang dengan penahanan tiga lelaki pada 18 September lepas.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, kesemua suspek berusia antara 39 hingga 41 ditahan menerusi Op Lejang Kasuarina di Gombak.

Katanya, dalam siri serbuan tersebut, pihaknya turut merampas 12 buah lori, enjin dan trak forklift yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta.

"Dalam operasi tersebut juga telah merampas muatan lori yang mengandungi pelbagai jenis barangan kiriman 'Shopee' yang dilaporkan hilang.

"Sindiket beroperasi dengan mencuri lori dan kemudian membuang alat Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), mengubahsuai nombor casis dan nombor enjin untuk mengelak dikesan sebelum menjualnya kepada pihak ketiga atau untuk kegunaan sendiri," katanya lagi.

Sindiket | Curi lori Shopee, tiga penjenayah tumpas


Reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun.

Tambah Abd Jalil, pihaknya sedang mengesan saki baki ahli kumpulan dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi ASP Md Norsham Yunus di talian 019-2905965 atau balai polis berdekatan.