Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempergiatkan penggunaan media sosial untuk mempromosi sektor pertanian supaya menjadi satu bidang yang diminati generasi muda.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu kementerian mewujudkan 'cyber team' di setiap agensinya untuk mencapai hasrat itu.

"Cyber team ini akan membuat pengiklanan dan promosi melalui media sosial sama ada twitter dan sebagainya. Ini kerana generasi muda lebih dekat dengan media sosial," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Amanat Bersama Menteri di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata generasi muda menganggap sektor pertanian tidak menjamin masa depan dan persepsi itu harus diubah.

Katanya kementerian dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Majlis Belia Malaysia dan Universiti Putra Malaysia akan bekerjasama dalam menarik minat belia menceburi sektor pertanian menerusi penganjuran pelbagai program.

Beliau berkata kementerian juga telah melancarkan Kelab Usahawan dan Siswazah Tani (MyAgrosis) di kalangan belia dan siswaszah untuk menceburi bidang pertanian bagi melahirkan petani moden dan berkarisma.

"Sehingga kini keahlian kelab telah mencecah 10,124 orang dan kami berharap keahlian akan terus meningkat," katanya.