Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan satu siasatan dilakukan terhadap penceramah Zamihan Mat Zin yang didakwa mengkritik institusi diraja dalam sesi ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam pada 7 Oktober yang lepas.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MAIS turut menegaskan bahawa pendapat Zamihan dalam ceramah tersebut tidak menggambarkan pendirian majlis itu atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Susulan itu, MAIS mengarahkan agar satu siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan oleh JAIS di bawah Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Sehubungan dengan itu, MAIS menegaskan bahawa semua penceramah agama di dalam Negeri Selangor haruslah mematuhi segala peruntukan dalam peraturan tersebut.


‘Ini termasuklah tidak menyampaikan ceramah agama yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau kebiadaban terhadap Duli yang Maha Mulia Sultan, Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri yang boleh mewujudkan buruk sangka oleh penduduk Malaysia.

‘Pengurusan masjid dan surau di negeri Selangor harus memantau setiap aktiviti pengajaran agama Islam yang dilaksanakan supaya selaras dengan Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

‘Pihak pengurusan semua masjid dan surau dalam negeri Selangor bertanggungjawab memastikan setiap penceramah yang dijemput mempunyai tauliah serta mematuhi Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,’ menurut satu kenyataan itu.