Dua laporan polis berhubung kes melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Sabtu sedang disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata polis menerima dua laporan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

"Kertas siasatan dibuka susulan insiden Syed Saddiq yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo.

"Laporan pertama disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan pengadu mendakwa telah dikasari dan dipukul dari arah belakang ketika melindungi YB Menteri.

"Manakala laporan kedua telah diterima daripada pengadu iaitu Syed Saddiq yang dibuat di Balai Polis Sg Way Petaling Jaya yang disiasat di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh," katanya dalam kenyataan itu.

BACA: Syed Saddiq buat laporan polis, dakwa 'dicekik' Papagomo

Ahmad Dzaffir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang insiden berkenaan memberikan maklumat dengan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Radzee B Jamudi di talian 0196655811 dan Insp Sallena di talian 0176424007.

Berikutan kekecohan yang tercetus di luar Dewan Seri Cempaka di Hulu Langat itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Armada BERSATU telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, petang Sabtu.

BACA: 'Tak ada provok apa!' - Syed Saddiq nafi ceroboh kawasan BN

Klip video yang tular di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.

BACA: Suka hatilah nak caci, tapi serangan fizikal tu dah melampau! - Syed Saddiq

Sementara itu, Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris semalam menafikan melakukan kekasaran terhadap Syed Saddiq pada hari penamaan calon PRK Semenyih itu.

Bercakap kepada Astro AWANI, exco Pemuda UMNO itu sebaliknya mendakwa pihak Syed Saddiq tidak menceritakan situasi sebenar apa yang berlaku.

BACA: 'Kalau saya tahu jadi macam ni saya cium dia tadi' - Papagomo