Kebolehpercayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh dan perlu dipulihkan bagi membina masa hadapan, kata Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia boleh dilakukan sekiranya ahli PBB mendapatkan keberanian moral dan kekuatan politik untuk melakukan apa yang betul.

Berucap pada Debat Umum Sesi Ke-75 Perhimpung Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York secara maya, Muhyiddin memberikan contoh isu Palestin dan Rohingya sebagai dua contoh jelas mengapa PBB yang lebih kuat dan lebih baik diperlukan.

Beliau berkata untuk menyaksikan keamanan berpanjangan di Timur Tengah, priskripsi yang dipersetujui antarabangsa dengan sebulat suara menerusi undang-undang antarabangsa, resolusi PBB dan piagam PBB, Israel perlu melaksanakan beberapa perkara.

Pertama, ia perlu menghentikan semua aktiviti membangunkan penempatan haram. Kedua ia mesti mengundurkan tenteranya dari wilayah yang diduduki di Palestin dan yang meliputi negara-negara Arab berhampiran. Ketiga, ia mesti membenarkan pelarian Palestin kembali kepada tanah dan kediaman yang merupakan hak mereka.

"Keempat, ia mesti mengembalikan semula status asal Baitul Muqaddis dan terakhir, ia mesti memulihkan semula kredibilitinya dan kembali ke meja rundingan dengan Palestin," kata beliau.

Muhyiddin berkata Israel terus mengancam taraf negara rakyat Palestin dengan merampas lagi tanah rakyat Palestin, seterusnya menafikan warga Palestin sebarang keselamatan untuk insan atau keamanan.

Beliau berkata pendirian Malaysia kekal jelas dan konsisten bahawa rampasan itu adalah menyalahi undang-undang dan melanggar Piagam PBB, Konvensyen Geneva dan resolusi berkaitan Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan.

Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong gesaan masyarakat antarabangsa termasuk Setiausaha Agung PBB, Kuartet Timur Tengah untuk mendapatkan satu laluan yang dipersetujui bersama untuk pihak-pihak terlibat bertemu semula ke arah satu rundingan dengan penyelesaian secara aman.

Malaysia terus menggesa masyarakat antarabangsa untuk mendukung hak rakyat Palestin dari segi undang-undang bagi menentukan nasib mereka sendiri, yang merupakan satu daripada prinsip teras PBB apabila ia diwujudkan 75 tahun lepas, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kesan limpahan krisis di Wilayah Rakhine termasuk penghijrahan beramai-ramai etnik Rohingya dari Myanmar memberikan kesan yang besar bukan hanya kepada Malaysia tetapi juga negara jiran dengan Malaysia baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada jumlah terbesar pelarian etnik itu di Asia Tenggara.

"Sebagai sebuah negara membangun yang sedang bertahan untuk mengurus dan menyediakan perlindungan kepada hampir 180,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka politik dengan 86 peratus daripada mereka datang dari Myanmar, sumber kami tidak mencukupi.

"Bagaimanapun, Malaysia diharap melakukan lebih lagi untuk menerima kedatangan pelarian. Adakah itu adil?" tanya Muhyiddin.

Walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada pihak yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967nya, Muhyiddin berkata negara ini telah mengambil tanggungjawab dari segi sosial dan kewangan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan perlindungan kepada pelarian Rohingya atas dasar kemanusian.

Justeru, beliau berkata sudah sampai masanya negara yang memeterai konvensyen itu untuk memikul beban dan tanggungjawab yang setara dalam menangani masalah ini dengan membuka pintu kepada lebih ramai pelarian untuk penempatan semula

Sempena ulang tahun ke-75 PBB tahun ini, Muhyiddin berkata adalah sukar untuk menafikan bahawa PBB berjaya menjadikan masyarakat bergerak maju dalam banyak aspek daripada pelajaran kepada persekitaran kepada kesihatan dan keselamatan sosial jutaan manusia.

Malangnya, pada masa ini komitmen multilateral menjadi semakin kurang meyakinkan kerana negara-negara kurang mendukung nilai yang dikongsi dan menyelesaikan cabaran secara bersama.

"Kerajaan-kerajaan berpaling ke arah isu dalaman, mengetengahkan perspektif yang memenangi sokongan umum serta-merta," katanya.

Maka, Muhyiddin berkata Malaysia telah lama berpegang kepada kepercayaan bahawa dunia memerlukan libat urus oleh semua dalam mengekalkan kestabilan, ketenangan serta keamanan, dan masyarakat antarabangsa perlu bekerja sama untuk mendukung sebuah sistem berdasarkan nilai sejagat yang dikongsi bersama menerusi dialog dan kerjasama.

-- BERNAMA