Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah disaran untuk menceburi bidang penerbitan digital bagi memastikan mereka relevan seiring dengan masa kini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagaimanapun, DBP masih berada di peringkat awal dalam usaha untuk menceburi bidang itu.

"Sekiranya DBP boleh masuk dalam bidang penerbitan digital, ini adalah satu perkembangan yang amat baik buat mereka.

"Selain itu, DBP sedang berusaha untuk melibatkan diri dalam inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi laian dalam usaha untuk mempertingkatkan keupayaan mereka dalam bidang penerbitan dan Bahasa Melayu," kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang bertanyakan apakah perancangan Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan DBP bagi berdepan cabaran masa kini.

Ini kerana menurut beliau, DBP 'kurang menyerlah' jika dibandingkan dengan masa lalu.