APABILA risiko rasuah dalam sesebuah negara berada dalam keadaan tinggi maka kita tidak boleh menidakkannya atau berada dalam sindrom penafian atau denial syndrome.

Tindakan penguatkuasaannya dan punitif beserta runding cara perlu diadakan segera.

Kita harus terima hakikat bahawa ramai antara penjawat awam kita cenderung atau sememangnya terlibat dalam perbuatan rasuah.

Walaupun hanya seorang yang terlibat ia akan membawa kepada kerosakan nama dan imej keseluruhan penjawat awam itu sendiri.

Bak kata pepatah Inggeris 'a bad apple will surely spoil a huge lots of apples in the box'.

Kita harus menerima hakikat wujudnya rasuah dan perlakuan rasuah sedang berleluasa dalam negara terutamanya dalam kalangan 'Politically Exposed Persons (PEP) dan pegawai-pegawai awam itu sendiri.

Setelah menerima hakikat tersebut, kita harus mengambil langkah dan usaha untuk menanganinya agar tiada lagi PEP atau pegawai terlibat atau cenderong kepada keterlibatan kepada perbuatan rasuah.


Antara langkah atau tindakan yang harus diambil adalah:

i) ketua jabatan harus menutup semua ruang dan peluang perlakuan rasuah dengan mewujudkan mekanisme kawalan dalaman;

ii) ketua jabatan harus memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap PEP atau pegawai yang didapati atau disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah;

iii) ketua jabatan apabila mengetahui atau telah mengenalpasti pegawai yang terlibat dalam perbuatan rasuah, harus mengambil tindakan ke atas bukan sahaja pegawai berkenaan tetapi juga terhadap pegawai penyelia berkenaan kerana gagal mengawal selia pegawai bawahannya sehingga menyebabkan pegawai bawahannya terlibat dalam perbuatan rasuah tersebut;

iv) Pegawai Penyelia perlu melapor akan keterlibatan atau yang di syaki terlibat dalam perbuatan rasuah kepada agensi penguatkuasaan berkaitan untuk tindakan siasatan;

v) Rakan sejawatan atau sahabat sepejabat harus menasihati dan memperingati pegawai yang melakukan atau disyaki melakukan perbuatan rasuah tersebut agar segera berhenti perbuatan terkutuknya itu;

vi) Pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam harus bukan sahaja menghindar sebarang perbuatan rasuah tetapi melaporkan sebarang percubaan sogokan oleh pelanggan atau klien organisasi;

vi) Pelanggan atau Klien sesuatu perkhidmatan harus tidak melanggar peraturan tetapi mematuhi semua peraturan yang sedang kuatkuasakan;

vii) Pelanggan atau Klien harus sentiasa mengekang diri daripada memberi rasuah atau sogokan untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik. Perkhidmatan Kerajaan adalah percuma dan adalah satu 'hak' rakyat;

vii) Pelanggan atau klien harus melapor sebarang permintaan rasuah atau cubaan mendapatkan rasuah oleh PEP atau penjawat awam tanpa mengira pangkat, jawatan dan status kedudukan pegawai berkenaan:

viii) Semua pihak sama ada Anggota Perkhidmatan, Ketua Perkhidmatan, Ketua Jabatan, Pegawai, Pelanggan, Klien dan orang awam harus sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan, menjulang sistem governans dan tidak bertoleransi kepada sebarang perbuatan rasuah.

Membanteras perbuatan rasuah bukan hanya tanggungjawab pegawai SPRM tetapi adalah tanggungjawab bersama semua rakyat.

Kita semua harus memegang teguh kepada sistem governans dan sentiasa dipandu oleh integriti yang tinggi dalam kehidupan harian serta sentiasa benci kepada perbuatan rasuah sama ada ianya kecil atau besar jumlahnya.

Penjawat awam perlu kembali mempamerkan integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas demi kelangsungan wawasan negara agar Malaysia dikenali kerana integritinya bukan kerana rasuah.



Artikel ini ditulis oleh bekas Datuk Muhammad Salim Sundar. Beliau merupakan bekas pegawai SPRM dan antara pencetus idea penubuhanan GIACC serta NACP.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.