KOTA KINABALU:Dua makmal ujian COVID-19 di negeri ini apabila siap dan beroperasi kelak bakal meningkatkan kapasiti ujian daripada 2,750 sampel sehari kepada 3,150 sampel sehari, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

"Apabila siap dan beroperasi nanti dua makmal ini kapasiti ujian sampel (COVID-19) masing-masing ditingkatkan kepada 200 sampel sehari, membolehkan kita menambah kapasiti ujian kepada 400 sampel sehari.

"Penambahan kapasiti 400 sampel ini penting kerana ini akan membantu mengurangkan jumlah sampel tertunggak dan tahun depan kita akan tingkatkan kapasiti daripada 3,150 kepada 4,000 sampel sehari," katanya pada sidang media COVID-19 kerajaan negeri di sini, pada Isnin. 

Sementara itu, beliau berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara telah bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri membenarkan aktiviti selam skuba di negeri ini kerana aktiviti itu dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tiada sentuhan fizikal.

"Bagaimanapun, penyelam tidak dibenarkan melakukan rentas daerah. Sekiranya penyelam dari Kota Kinabalu hanya dibenarkan menyelam di daerah itu, tidak boleh rentas daerah pergi ke Semporna pula untuk menyelam," katanya.

BACA: PKPB: Aktiviti menyelam kini dibenarkan di Sabah 

Aktiviti menyelam dibenarkan dengan syarat bot membawa penyelam ke lokasi selaman tidak melebihi 30 peratus daripada muatan bagi memastikan penjarakan fizikal, dan prosedur operasi standard (SOP) mencegah COVID-19 akan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Dalam pada itu beliau berkata berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, syarikat dilesenkan merawat dan melupuskan sisa klinikal di seluruh Sabah iaitu Sedafiat Sdn Bhd menerima enam hingga 13 tan sisa klinikal sehari merangkumi sisa buangan daripada 45 pusat kuarantin negeri ini.

"Pihak JAS memantau secara harian kuantiti sisa klinikal yang diterima untuk rawatan dan pelupusan oleh syarikat berkenaan. Pemeriksaan yang dijalankan mendapati memang terdapat pertambahan sisa klinikal berikutan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di Sabah," katanya.

-- BERNAMA