Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, elaun khas kepada petugas barisan hadapan mampu menyuntik semangat kerja mereka terutama dalam menjalankan tugasan bagi menghadapi penularan wabak COVID-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, elaun khas yang diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) itu tepat pada masanya dan membuktikan bahawa kerajaan amat peka terhadap kebajikan selain menghargai pengorbanan golongan tersebut.

"Dalam masa yang sama, Cuepacs memohon pertimbangan khas kerajaan untuk memanjangkan pemberian elaun ini kepada pasukan Bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan yang juga terlibat secara langsung sebagai petugas barisan hadapan," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta pembendungan wabak itu.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir.

Cuepacs turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan tunai RM500 kepada penjawat awam yang disifatkan beliau sedikit sebanyak membantu mereka, terutama golongan B40, membeli barangan makanan dan keperluan. - BERNAMA