"Saya sempat goreng ikan lais untuk menu makanan tengah hari bagi menyambut kepulangan anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan".

Itu luahan hiba seorang warga emas, Jamilah Yahya, 76, selepas menerima berita sedih menimpa anak perempuannya sekeluarga yang terlibat dalam nahas ngeri di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban, berdekatan Kampung Melayu Raya, Segamat petang tadi.

Dalam kemalangan itu, anak perempuannya Nur Faizlin Jamaludin @ Samsudin, 37, dan suami Nizam Daud, 51, serta dua anak mereka Nur Naqhia, 6, dan Mohd Niyaz, 2, maut dilokasi kejadian manakala seorang lagi anak mereka Mohd Naqib, 9, mengalami kecederaan parah.

BACA: Pemandu treler terbabit kemalangan maut ditahan polis

Ujar Jamilah, anak kelimanya yang menetap di Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung Gemereh selepas kali terakhir bersua muka pada Aidilfitri lalu.

Sebagai orang tua, dia dan suami Jamaludin @ Samsudin Jelani, 75, tentunya teruja menanti kepulangan anak tersayang dan bersungguh-sungguh menyediakan juadah makanan tengah hari.

Anaknya sekeluarga sepatutnya tiba di kediamannya sekitar jam 1.30 petang bagaimanapun tidak kunjung tiba.

Dia dan suami kemudian cuba menghubungi telefon bimbit anak perempuannya itu, namun gagal sebelum menerima khabar bahawa mereka terlibat dengan kemalangan.

”Dia ada telefon bagi tahu nak balik, ada... Apabila tahu anak nak balik, saya siapkan ikan lais dan semua lauk-lauk makan tengah hari.

“Tapi bila tunggu tak balik, saya cakap dengan suami untuk menelefon.

“Selepas itu, adik kat Kuala Lumpur (beri pesanan) WhatsApp yang kata anak saya terlibat kemalangan,” ujarnya.

Sementara itu, abang Nur Faizlin, Mohd Fazli, 49, berkata, dia yang menetap di Segamat sedia maklum bahawa adik perempuannya yang bekerja sebagai jurutera di Rapid Pengerang itu akan pulang ke kampung pada cuti hujung minggu ini.

Tambahnya, anggota keluarga memang menanti kepulangan mereka memandangkan kali terakhir keluarga itu pulang ke kampung ialah pada Aidilfitri lalu.

Namun, mereka terkejut selepas menerima pesanan WhatsApp melalui telefon bimbit adiknya sekitar jam 2 petang, dipercayai oleh anggota bomba yang mencari anggota keluarga untuk segera menghubungi semula nombor berkenaan.