MALAYSIA
Pemandu treler didakwa sebabkan kematian empat sekeluarga

Tertuduh, Y Vethri Vel, 26, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebaik ditanya jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob. - Foto BERNAMA
Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis atas empat pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga termasuk seorang anggota polis, 13 Februari lalu.
Tertuduh, Y Vethri Vel, 26, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebaik ditanya jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.
Mengikut pertuduhan, Vethri Vel didakwa memandu treler bernombor pendaftaran WUA 5761 dan T/BD6993 di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar secara melulu hingga menyebabkan kematian empat individu pada kira-kira jam 10.20 malam, 13 Februari lalu.
Norhabsarina kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Beliau turut menetapkan 23 Mac depan sebagai sebutan semula kes dengan kehadiran seorang jurubahasa.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norlida Ishak.
Nahas membabitkan treler dan kereta jenis Proton Saga BML itu turut mengakibatkan anak sulung mangsa, Muhammad Fariz Iskandar, 3, cedera parah.
Siasatan awal mendapati treler bermuatan bahan binaan yang dipandu dari arah Ipoh itu hilang kawalan sebelum terbabas memasuki jalan bertentangan menyebabkan kereta mangsa tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler sebelum dihempap dengan muatan treler.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami