Ibu bapa dinasihatkan agar memastikan anak-anak mereka berumur antara setahun hingga tujuh tahun mengambil suntikan vaksin demam campak atau measles bagi mengelak penularan jangkitan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan kes yang tinggi terutama di Kuala Lumpur kerana tidak mengambil suntikan vaksin itu disifatkan sebagai membimbangkan.

"Sehingga 30 Jun 2015, 73 kes yang disahkan measles telah dilaporkan berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes ini membabitkan usia sebulan sehingga 43 tahun. 79 peratus daripada kes ini didapati tiada suntikan vaksin measles diambil.

"Peratusan tinggi kes tiada suntikan adalah membimbangkan dan sehubungan itu Kementerian Kesihatan menggesa ibu bapa membawa anak mereka ke klinik terdekat bagi mendapatkan suntikan vaksin measles," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, liputan imunisasi melebihi 95 peratus mampu mengekang penularan jangkitan demam campak dalam masyarakat.

"Vaksin measles diberikan sebanyak dua dos kepada kanak-kanak di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan iaitu pada umur 12 bulan dan 7 tahun.

"Ibu bapa dinasihatkan agar memastikan anak-anak mereka menerima suntikan vaksin measles ini bagi memastikan anak terlindung daripada jangkitan measles dan komplikasinya," katanya.

Manakala bagi penyakit cacar air pula, sehingga 30 Jun 2015, sebanyak 5 kluster dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kes berlaku di taska, tabika dan depot tahanan di Kuala Lumpur. Ia berlaku antara Mac hingga Jun 2015. Penyakit cacar air tidak termasuk di dalam program eliminasasi dan apabila berlaku semua kes akan dirawat," tambahnya lagi

Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak atau sekolah sekiranya menghidap demam campak dan cacar air bagi mengelak penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Dr Noor Hisham berkata demikian sebagai mengulas artikel bertajuk 'Kementerian Kesihatan siasat dakwaan penularan demam campak di Kuala Lumpur' yang diterbitkan Astro AWANI pada 26 Julai lalu.

Artikel tersebut mendakwa berlaku penularan demam campak (measles) dan cacar air (chickenpox) di Kuala Lumpur.