Seekor gajah jantan ditemui mati di kawasan ladang Low Woo Thien, Ulu Segama, Lahad Datu, petang semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, Pejabat Hidupan Liar Lahad Datu dimaklumkan mengenai penemuan bangkai gajah itu pada jam 5.10 petang oleh pekerja ladang tersebut.

"Satu pasukan JHL Lahad Datu telah ke lokasi kejadian pada hari yang sama untuk memeriksa dan mengumpul maklumat mengenai kematian gajah jantan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah pada bangkai gajah berkenaan namun mendapati kaki haiwan itu cedera disebabkan oleh jerat.

Seekor gajah jantan ditemui mati di Ulu Segama Lahad Datu dipercayai dijerat. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

"Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan oleh pegawai veterinar, punca kematian adalah disebabkan septicemia (keracunan darah) serta jangkitan parasit," katanya menerusi satu kenyataan, petang Selasa.

Terdahulu, seekor gajah jenis Pygmy Borneo dilaporkan mati di Santuari Gajah Borneo (BES), Kinabatangan akibat cedera terkena jerat selepas diselamatkan dari Sapagaya, Lahad Datu.

Jumaat lalu, seekor monyet Proboscis ditemui mati di santuari hidupan liar Kinabatangan manakala turut dilaporkan penemuan bangkai seekor orang utan berhampiran Hutan Simpan Kabili-Sepilok, Sandakan.

Seekor gajah jantan ditemui mati dipercayai dijerat di Ulu Segama, Lahad Datu. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah