Memulakan kerjaya perguruan di kawasan pedalaman dengan kadar kelajuan internet yang perlahan dan kekurangan infrastruktur mungkin bukan sesuatu yang diimpikan buat guru-guru muda terutamanya daripada golongan ‘Millennials’.

Namun buat Nor Aishah, beliau menceritakan saat gembira apabila menerima surat penempatan ke Sekolah Kebangsaan Tasik Cini di Kampung Gumum, Tasik Chini, Pekan, Pahang.

“Saya memang mahu mengajar anak-anak Orang Asli. Pada saya cabaran untuk mendidik mereka itu menjadi pembakar semangat dan saya mahu memastikan tiada anak-anak warga tempatan yang ketinggalan dari segi pelajaran kerana asal usul mereka.

“Apabila saya mendapat surat penempatan saya sangat teruja dan apabila saya sampai di sini saya lebih seronok kerana keadaan sekelilingnya, kawasan yang unik dan infrastruktur sekolah ini,” jelasnya gembira.
Nor Aishah bergambar bersama-sama anak didiknya.

Nor Aishah yang merupakan guru Bahasa Inggeris di satu-satunya sekolah Orang Asli yang tergolong dalam kluster kecemerlangan di Malaysia itu berkata, murid-murid orang asli juga mempunyai bakat dan keupayaan bersaing dengan murid lain jika diberi peluang dan dorongan yang secukupnya.

“Anak-anak Orang Asli kebanyakan mempunyai masalah keyakinan diri kerana persepsi negatif terhadap mereka yang kononnya datang dari dunia luar. Kadang-kadang mereka merasa begitu rendah berbanding murid-murid lain terutama di bandar.

“Disebabkan itu saya pastikan, menerusi aktiviti-aktiviti kokurikulum, sukan dan seni, mereka dapat peluang keluar serta berinteraksi dengan murid dari daerah dan negeri lain. Saya percaya mereka boleh bersaing namun yang paling penting adalah sama ada mereka mempercayai diri sendiri,” katanya bersungguh-sungguh.
Antara kerja-kerja luar yang didedahkan kepada murid-murid Orang Asli.

Nor Aishah yang juga sering membantu murid-murid di sekolah itu menghargai seni suku kaum mereka iaitu Jakun, mengakui bahawa dia sendiri mendapat manfaat daripadanya.

“Saya dapat pelbagai perkara baru mengenai budaya dan pemikiran masyarakat di sini. Contohnya kaum Jakun di sini mempunyai tarian etnik tersendiri yang dinamakan Kerundang. Tarian itu diberi nama sempena alat muzik gendang yang diketuk.

“Masyarakat di sini juga mempunyai tığa lagu etnik. Salah satunya adalah mengenai Tasik Chini yang mempunyai makna mendalam buat mereka,” katanya.

Walaupun terletak di kawasan pedalaman, Sekolah Tasik Cini mempunyai infrastruktur dan persekitaran yang boleh dicemburui sekolah-sekolah lain.

Dengan bilangan pelajar seramai 118 orang, sekolah ini merupakan 100 peratus sekolah Orang Asli.

Pada 2009, sekolah ini merupakan antara sekolah tercorot dalam negara namun berkat usaha bekas guru besar Akit Huat, guru-gurunya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka berjaya meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah tersebut.

Statistik pelajar orang asli di Pahang pada 2011 menunjukkan bahawa hampir 50 peratus dari pada murid Orang Asli di sekolah rendah tidak meneruskan pelajaran mereka.

Antara puncanya adalah kurang motivasi dan bimbingan daripada orang dewasa di sekeliling mereka.
Guru Ilmu Teknologi Komputer, Vinodharan Ganeshan.
Buat Vinodharan Ganeshan, guru Ilmu Teknologi Komputer yang menguruskan makmal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mempunyai 20 komputer riba, dua komputer, 1 televisyen dan tiga LCD, berkata guru-guru tidak boleh membezakan murid di bandar dan luar bandar.

“Kita harus memandang murid-murid ini berdasarkan potensi mereka untuk belajar dan tidak memperkecilkan kebolehan mereka.

“Ini kerana apabila mereka diberi bimbingan yang betul mereka juga boleh berjaya. Pada masa yang sama kita harus hargai kegigihan mereka untuk belajar sedangkan latar belakang mereka rata-rata orang susah, mempunyai ibu bapa yang tiada pendidikan serta duduk di kawasan yang jauh dari sekolah.

“Ramai pelajar di sini masih bergantung kepada bot untuk sampai ke sekolah dan apabila hujan lebat atau bot rosak, mereka kadang-kadang tersadai,” katanya.