Ketika rakyat Malaysia sedang rancak berbual tentang keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, yang bakal diumumkan pada malam ini, penyanyi Bruno Mars menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil dalam sebahagian jelajah 24K Magic World Tour.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu hit Versace on the Floor dan That’s What I Like itu dalam siri jelajah konsert di beberapa negara lain, termasuk Jepun, Singapura, Thailand dan Filipina.

Rata-rata peminat Bruno Mars yang berada di konsert itu teruja sambil menghiburkan diri selepas mengundi hari ini.

Namun, di Twitter ada yang memberi gambaran kemungkinan ramai rakyat Malaysia di konsert itu yang akan lebih memberi tumpuan terhadap keputusan PRU14.

Ada juga yang sempat bertanya jika mungkin Bruno Mars akan mengumumkan keputusan PRU14 ini.
Ini bukan kali pertama konsert melibatkan artis antarabangsa di Kuala Lumpur sewaktu proses pilihan raya berlangsung.

Sebelum ini pada PRU13, penyanyi classical terkenal dari Itali Andrea Bocceli pernah mengadakan konsert sulungnya di Malaysia tanggal 5 Mei 2013.

Sebelum ini, tiket konsert persembahan Bruno Mars kali ini sudah terjual seperti pisang goreng panas beberapa jam selepas pengumuman dibuat pada tahun lalu.