Guru yang didakwa terlibat memukul dan menghina seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini Isnin lepas telah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata guru perempuan berkenaan ditempatkan di situ sehingga pihak sekolah dan polis selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Buat masa ini siasatan oleh pihak sekolah telah pun selesai. Bagaimanapun kami masih menunggu hasil siasatan daripada pihak polis sebelum memutuskan sebarang bentuk tindakan tatatertib yang perlu dikenakan ke atas guru itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bagi membincangkan insiden tersebut di sekolah berkenaan hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Nor dan ibu bapa kepada pelajar berkenaan.

Pelajar tersebut mendakwa telah ditendang, ditampar dan disuruh mencium kaki guru terbabit tanpa sebab.

Guru itu juga didakwa melakukan perbuatan yang menghina agama pelajar berkenaan.