Hanya 38 daripada 737 ladang ternakan babi di negara ini memenuhi piawaian ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pengusaha ladang yang gagal mematuhi piawaian masih diberi peluang sebelum langkah penguatkuasaan bermula pada 2016.

"Sebagaimana yang termaktub dalam konsep 'Modern Pig Farming', empat kriteria perlu dipatuhi oleh semua ladang ternakan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan kementerian di sini hari ini.

Empat kriteria itu adalah kandang tertutup; sistem pengurusan sisa kumbahan sifar; jarak minimum 200 meter dari rumah kediaman, sekolah, klinik, tempat ibadat serta kemudahan awam; dan mengamalkan Amalan Penternakan Baik.

Ismail Sabri berkata jika selepas tempoh diberi pengusaha ladang masih gagal mematuhi peraturan, tindakan mengikut Enakmen Kawalan Ternakan Babi akan dikenakan.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan sisipan khas Agroprenuer Muda terbitan akhbar KOSMO.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kementerian akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menubuhkan Lembaga Ruminan, bertujuan memajukan dan meningkatkan lagi penghasilan daging serta produk daging.

"Kajian teliti dan mendalam akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ia dikemukakan kepada Kabinet, Jabatan Veterinar telah diarah untuk membuat kertas kerja mengenainya," katanya.

Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan peningkatan permintaan produk daging semakin meningkat selain untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import daging.