Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pengumuman rasmi berhubung dakwaan tujuh agensi di bawah kementeriannya bakal ditutup hanya akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, menurut Guan Eng, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengulas dakwaan tersebut kerana kerajaan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi megenainya.

"Ini saya rasa saya tak boleh buat komen kerana ini bukan kenyataan rasmi. Kalau ada apa-apa kenyataan rasmi, biar ia dibuat oleh kerajaan dan saya rasa di sini ialah YAB Perdana Menteri, jadi saya tak mahu buat apa-apa komen kerana ini juga melibatkan banyak kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas desus yang tersebar di media sosial berhubung tujuh agensi di bawah Kementeriannya yang kini dalam pertimbangan untuk ditutup.

Guan Eng berkata demikian selepas melancarkan buku peringatan bencana alam, The Healing Penang Hill Pictorial Book di Bukit Bendera, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau masih mempertimbangkan cadangan Dr Mahathir untuknya mengadakan lawatan ke China.

Kata ahli parlimen Bagan itu, jadual lawatannya masih belum ditetapkan berikutan masih mempunyai banyak urusan di Parlimen.