Kedudukan anak tangga ke paras 50 daripada 175 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 adalah hasil daripada kerjasama semua pihak yang berkenaan dan usaha kolektif rakyat pelbagai lapisan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, ia sekaligus membuktikan keberkesanan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Kita ucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semua pihak atas pencapaian memperbaiki kedudukan dalam CPI 2014 yang diumumkan semalam.

"Kedudukan ini merupakan yang tertinggi pernah dicatat Malaysia sejak 2004. Selain itu, Malaysia juga merupakan negara kedua tahap rasuah paling rendah di belakang Singapura yang berada pada kedudukan ke-7.

"Pencapaian ini juga merupakan kedudukan terbaik sejak Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ditubuhkan sebagai sebuah suruhanjaya antirasuah yang bebas, telus dan profesional," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malaysia memperbaiki kedudukan dalam CPI 2014, naik tiga anak tangga ke kedudukan 50 daripada 175 negara.

Tahun lalu, Malaysia mencatat kedudukan ke-53 dalam indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu.

Abu Zahar turut berharap, pihak yang berkenaan dan rakyat akan terus memberi sokongan dan kerjasama yang padu bagi memerangi jenayah rasuah berhabis-habisan.

"Jenayah rasuah tidak boleh diperangi oleh SPRM ataupun kerajaan sahaja, sebaliknya, ia memerlukan sokongan semua pihak dan yang penting sekali penglibatan rakyat jelata.

"Kita berharap SPRM dan kerajaan akan mengambil banyak lagi pendekatan yang serius dan tegas untuk menangani isu rasuah bagi membolehkan indeks persepsi terus bertambah baik," jelasnya.

Katanya, perkara yang sama turut ditekankan dalam Laporan JKMR yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen baru-baru ini, di mana agenda memerangi rasuah bukan satu opsyen, sebaliknya satu kemestian, bertindak secara tegas dan tidak selektif.