KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendesak siasatan terperinci dijalankan berhubung dakwaan pembabitan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aktiviti salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta.

Pengerusi JKMR Tan Sri Rais Yatim dan Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang senada bahawa pihak dalam dakwaan itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin agar keyakinan rakyat kepada SPRM kekal utuh.

"Selaku badan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Seksyen 13 dan 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694), JKMR dan LPPR melahirkan kebimbangan yang teramat sangat mengenai dakwaan itu," kata mereka dalam kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penularan berita di media sosial itu, yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman.

Bagaimanapun Abdul Jalil berkata polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta), milik seorang individu yang pernah disiasat.

BACA: SPRM sahkan penahanan tiga pegawai berhubung dakwaan salah guna kuasa 

BACA: Polis nafi terima laporan berhubung kecurian babitkan pegawai kanan SPRM 

Sementara itu pertemuan sulung antara JKMR dan LPPR turut bersetuju perhatian serius berhubung beberapa situasi perlu diberikan, terutama melibatkan kes-kes rasuah yang mengambil masa terlalu lama untuk diputuskan Mahkamah Rayuan sehingga ada melebihi tempoh setahun.

Menurut Rais dan Abu Zahar ia merupakan antara tugasan yang bakal diberi perhatian oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen agar kepercayaan orang ramai tidak luntur.

"JKMR dan LPPR juga memandang serius isu penarikan balik kes-kes rasuah melibatkan individu tertentu sebelum perbicaraan bermula dan juga semasa perbicaraan sedang berlangsung kerana ia menjejaskan imej, kredibiliti serta integriti SPRM dan mahu penjelasan tegas diberikan pihak bertanggungjawab," kata mereka.

BACA: Siasatan salah guna kuasa, penyelewengan pegawai SPRM perlu diambil alih PDRM - Hussamuddin

BACA: LPPR pandang serius isu tarik balik kes melibatkan individu tertentu

Sementara itu, JKMR dan LPPR juga sepakat menjalinkan kerjasama erat bagi menggerakkan usaha, pendekatan serta memberikan paradigma baharu dalam memerangi rasuah.

Susulan itu, dua entiti berkenaan bersetuju memperhalusi cadangan untuk meletakkan hal ehwal anti rasuah di bawah Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

-- BERNAMA