Kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mengakui kesemua enam buah helikopter MD sudah 98 peratus siap dan dibayar dipertikai.

Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishamuddin Hussein menegaskan, ia sekali gus merungkai isu putar belit Mohamad yang selama ini mendakwa helikopter itu tidak sampai walaupun sudah dibayar.

"Sebenarnya tidak sampai atau tidak mahu terima? Kalau betul telah 98 peratus siap dan sudah dibayar, terima sahajalah helikopter tu.

"Apa masalahnya lagi sampai perlu tangguh, kemudian reka pelbagai isu dan polemik?

"Ini yang saya sering sebut sebelum ni, jangan disebabkan hendak bermain politik, keselamatan rakyat Sabah diperjudikan," katanya katanya dalam satu hantaran terbaru di akaun Facebooknya.

Pada Rabu, Mohamad dilaporkan menjelaskan, kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung enam helikopter yang dibeli pentadbiran lepas, bernilai lebih RM300 juta, yang belum dihantar.

Mohamad berkata sekiranya helikopter berkenaan dihantar dan tentera enggan menggunakannya, perbincangan akan diadakan bersama kementerian lain mengenai penggunaannya.

Laporan sebelum ini menyebut, dua helikopter tempur jenis McDonnell Douglas (MD) akan ditempatkan di Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Helikopter Lahad Datu.

Aset pertahanan udara dari jenis helikopter tempur ringan itu akan membantu operasi pemantauan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

Pada Mei lepas, sebuah portal melaporkan mengenai pesanan untuk enam helikopter tempur ringan MD 530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters dari Amerika Syarikat oleh pentadbiran lepas.

Sumber portal itu turut mendedahkan sebuah syarikat tempatan dilantik sebagai ejen untuk pembelian itu, tetapi kedudukannya sebagai ejen tempatan dikatakan telah dibatalkan MD Helicopters.

Helikopter itu sepatutnya dihantar dalam dua fasa, iaitu dua buah dihantar pada Julai 2017 dan empat lagi dijadualkan dihantar pada Disember 2018.