Hubungan diplomatik Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia serta rantau Asia akan tetap dipelihara biarpun negara kuasa besar dunia itu bakal diterajui Presiden baharu, Donald Trump.

Itu jaminan Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, Edgard Kagan, sambil menyifatkan dasar luar Amerika akan diteruskan oleh pentadbiran baharu Amerika.

Ini kerana biarpun pentadbiran kerjaaan berubah tangan dari Demokrat kepada Republikan, dasar luar negara kuasa besar dunia itu dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara serantau tetap menjadi keutamaan.

LAPOR LANGSUNG: Donald Trump dipilih sebagai Presiden AS ke-45

"Hubungan baik antara Amerika Syarikat dan Asia, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara dan Amerika Syarikat dan Malaysia amat penting buat kami dan semua pihak akan terus berusaha memastikan hubungan baik itu dipelihara," katanya ketika ditemui pada majlis menyaksikan keputusan pilihan raya presiden AS secara langsung di ibu negara, hari ini.

Ujar beliau, pertukaran dalam tampuk pentadbiran itu juga tidak menjejaskan kemasukan bukan warganegara termasuk rakyat Malaysia ke negara 'Uncle Sam' itu.

"Saya kira amat penting untuk memperjelaskan di sini bahawa kami amat bangga dengan prestasi rekod sebelum ini yang mengalu-alukan orang luar untuk masuk ke dalam negara sama ada sebagai pelancong atau pelajar, melalui prosedur-prosedur tertentu yang telah ditetapkan tetapi saya yakin Amerika Syarikat akan terus menjadi destinasi yang terbuka bagi seluruh dunia," katanya.